Monday 3 August 2015

Faedah menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah
                Aktiviti kokurikulum merupakan aktiviti   di luar bilik darjah yang banyak memberi faedah kepada  murid-murid.  Aktiviti kokurikulum sekolah  terdiri daripada sukan dan permainan, persatuan serta unit beruniform.

                Murid-murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan melalui  aktiviti kokurikulum  yang disertainya. Sebagai contoh, murid yang menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah  berpeluang belajar pertolongan cemas. Ilmu ini dapat dimanfaatkan untuk membantu orang semasa kecemasan. 

                Di samping itu, murid-murid terikat kepada peraturan-peraturan semasa menyertai aktiviti kokurikulum. Ini membolehkan murid-murid belajar mendisiplinkan diri seperti menepati masa, patuh kepada arahan jurulatih dan sebagainya.

                Melalui aktiviti kokurikulum, murid-murid juga dapat memupuk nilai-nilai murni seperti  sikap bekerjasama, bertoleransi  dan berdikari.  Semasa perkhemahan misalnya, murid-murid perlu menjalankan tugas dalam kumpulan.  Ini memberi peluang kepada murid-murid bergaul antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.

                Selain itu, murid-murid dapat mengisi masa lapang dengan baik menerusi penyertaan dalam aktiviti kokurikulum .  Ini  dapat mengelakkan murid-murid terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat seperti melepak.

                Kesimpulannya, murid-murid digalakkan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah  memandangkan  aktiviti-aktiviti ini mendatangkan banyak faedah. Murid-murid juga dapat menggunakan masa selepas waktu sekolah dengan sebaik-baiknya.

 

No comments:

Post a Comment