Monday 3 August 2015

Binatang kesayangan saya

Sejak kecil lagi, saya suka bermain dengan binatang kecil .Oleh itu, pada hari jadi saya yang ke-10,ayah saya telah menghadiahi saya seekor anak kucing yang comel.Saya sungguh terharu.

         Saya menamakan kucing itu Jojo.Jojo berwarna perang muda.Bulunya lembut, gebu dan cantik.Matanya bulat dan bersinar-sinar. Jojo mempunyai ekor yang pendek.

         Oleh sebab Jojo masih kecil,saya hanya memberi susu dan makanan kucing yang dibeli kepadanya.Biasanya pada waktu siang Jojo berehat di dalam kurungannya.Namun begitu,saya tidak mengunci kurungan supaya Jojo dapat bergerak bebas di dalam kawasan rumah. Setiap minggu, saya akan memandikan Jojo supaya tidak berbau busuk.Saya juga akan mencuci kurungannya supaya sentiasa bersih.

         Jojo sangat manja dengan saya. Apabila saya pulang dari sekolah,Jojo akan menyambut kepulangan saya di muka pintu.Saya akan mengusap-usap kepalanya. Semasa saya membuat kerja sekolah, Jojo akan menemani saya . Pada masa lapang ,saya akan bermain dengan Jojo. Kadangkala,saya akan membawa Jojo bersiar-siar di taman yang berhampiran dengan rumah saya.

         Pada suatu petang, Jojo kelihatan lesu dan tidak bermaya.Saya berasa sungguh risau kerana sebelum ini Jojo tidak pernah berkeadaan demikian.Saya pun meminta ayah membawa Jojo berjumpa doktor haiwan.Doktor haiwan mendapati Jojo dijangkiti kuman. Jojo telah diberi suntikan.Setelah dua hari,baharulah Jojo kelihatan lincah semula. Saya berasa lega.

          Kini, hampir dua tahun Jojo bersama saya.Kami sekeluarga sayang akan Jojo.Saya berjanji akan menjaga Jojo dengan baik hingga akhir hayatnya.

No comments:

Post a Comment