Monday 3 August 2015

Aktiviti harian


11 Ogos 2013 ( Ahad)

7.00 pagi

Hari ini cuti umum. Saya tidak ke sekolah.  Namun begitu, saya bangun awal  untuk membantu ibu bapa  membersihkan kawasan rumah seperti yang dirancang.

8.00 pagi

Saya dan keluarga bergotong-royong membersihkan kawasan rumah.  Saya membantu ibu mengelap tingkap, perabot  dan menukar langsir baharu. Kakak pula membersihkan  lantai dengan pembersih vakum.  Bapa mencuci  longkang di tepi rumah manakala ibu menukar semua  cadar dan sarung bantal untuk dicuci.

12.00 tengah  hari

Ibu tidak sempat memasak untuk makan tengah hari. Oleh itu, kami makan di sebuah restoran.

1.00 petang

Saya dan keluarga terus berkunjung ke pameran buku selepas makan. Pameran buku itu diadakan di Dewan Beng Siew.  Banyak buku yang dipamerkan seperti buku cerita, novel, buku ilmiah dan sebagainya.  Saya telah membeli  dua buah buku cerita kegemaran saya.

4.00 petang

Pulang ke rumah.  Duduk di sofa  sambil membaca buku  cerita yang dibeli. Saya berasa terhibur kerana buku cerita itu sangat menarik.

5.00 petang

Kakak mengajak saya bermain badminton di Kelab Laguna Merbok. Kakak saya seorang pemain badminton yang handal.  Saya banyak belajar daripada kakak saya.  

6.30 petang

Selepas mandi, saya dan kakak membantu ibu menyediakan hidangan makan malam. Kakak menanak nasi. Saya memotong sayur  dan bawang dengan berhati-hati.  Selain menggoreng sayur, ibu juga memasak kari ayam kegemaran saya.

8.00 malam

Makan malam bersama keluarga.  Masakan ibu sedap sekali.  Selepas  makan,  kami bekerjasama  mengemas meja dan mencuci pinggan mangkuk.

9.00 malam

Saya dan kakak mengulang kaji pelajaran di bilik bacaan.  Saaya  meminta tunjuk  ajar daripada kakak apabila saya menghadapi masalah dalam pelajaran.

11.00 malam

Mengucapkan selamat malam kepada ibu bapa dan bersedia untuk tidur. 
Faedah menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah
                Aktiviti kokurikulum merupakan aktiviti   di luar bilik darjah yang banyak memberi faedah kepada  murid-murid.  Aktiviti kokurikulum sekolah  terdiri daripada sukan dan permainan, persatuan serta unit beruniform.

                Murid-murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan melalui  aktiviti kokurikulum  yang disertainya. Sebagai contoh, murid yang menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah  berpeluang belajar pertolongan cemas. Ilmu ini dapat dimanfaatkan untuk membantu orang semasa kecemasan. 

                Di samping itu, murid-murid terikat kepada peraturan-peraturan semasa menyertai aktiviti kokurikulum. Ini membolehkan murid-murid belajar mendisiplinkan diri seperti menepati masa, patuh kepada arahan jurulatih dan sebagainya.

                Melalui aktiviti kokurikulum, murid-murid juga dapat memupuk nilai-nilai murni seperti  sikap bekerjasama, bertoleransi  dan berdikari.  Semasa perkhemahan misalnya, murid-murid perlu menjalankan tugas dalam kumpulan.  Ini memberi peluang kepada murid-murid bergaul antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.

                Selain itu, murid-murid dapat mengisi masa lapang dengan baik menerusi penyertaan dalam aktiviti kokurikulum .  Ini  dapat mengelakkan murid-murid terlibat dalam kegiatan yang tidak sihat seperti melepak.

                Kesimpulannya, murid-murid digalakkan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah  memandangkan  aktiviti-aktiviti ini mendatangkan banyak faedah. Murid-murid juga dapat menggunakan masa selepas waktu sekolah dengan sebaik-baiknya.

 
Binatang kesayangan saya

Sejak kecil lagi, saya suka bermain dengan binatang kecil .Oleh itu, pada hari jadi saya yang ke-10,ayah saya telah menghadiahi saya seekor anak kucing yang comel.Saya sungguh terharu.

         Saya menamakan kucing itu Jojo.Jojo berwarna perang muda.Bulunya lembut, gebu dan cantik.Matanya bulat dan bersinar-sinar. Jojo mempunyai ekor yang pendek.

         Oleh sebab Jojo masih kecil,saya hanya memberi susu dan makanan kucing yang dibeli kepadanya.Biasanya pada waktu siang Jojo berehat di dalam kurungannya.Namun begitu,saya tidak mengunci kurungan supaya Jojo dapat bergerak bebas di dalam kawasan rumah. Setiap minggu, saya akan memandikan Jojo supaya tidak berbau busuk.Saya juga akan mencuci kurungannya supaya sentiasa bersih.

         Jojo sangat manja dengan saya. Apabila saya pulang dari sekolah,Jojo akan menyambut kepulangan saya di muka pintu.Saya akan mengusap-usap kepalanya. Semasa saya membuat kerja sekolah, Jojo akan menemani saya . Pada masa lapang ,saya akan bermain dengan Jojo. Kadangkala,saya akan membawa Jojo bersiar-siar di taman yang berhampiran dengan rumah saya.

         Pada suatu petang, Jojo kelihatan lesu dan tidak bermaya.Saya berasa sungguh risau kerana sebelum ini Jojo tidak pernah berkeadaan demikian.Saya pun meminta ayah membawa Jojo berjumpa doktor haiwan.Doktor haiwan mendapati Jojo dijangkiti kuman. Jojo telah diberi suntikan.Setelah dua hari,baharulah Jojo kelihatan lincah semula. Saya berasa lega.

          Kini, hampir dua tahun Jojo bersama saya.Kami sekeluarga sayang akan Jojo.Saya berjanji akan menjaga Jojo dengan baik hingga akhir hayatnya.

aku seekor kucing

Aku seekor kucing. Aku berwarna kelabu. Bulu aku tidaklah gebu seperti kucing peliharaan. Maklumlah aku dilahirkan di sebuah bangsal buruk.

          Ibu aku telah meninggal dunia sejak aku masih kecil. Tanpa jagaan dan lindungan ibu, aku terpaksa mencari makanan sendiri.Biasanya aku merayau-rayau di sekitar pasar untuk mendapatkan makanan.

         Pada suatu hari, aku singgah di sebuah gerai ikan.Aku mengiau-ngiau untuk mendapatkan belas kasihan.Malang tidak berbau. Aku dipukul oleh penjaja itu. Kepala aku telah cedera. Nasib aku seperti jatuh ditimpa tangga.

         Aku sangat lapar.Kepala aku pula sakit. Aku tidak berdaya berjalan lagi. Pada masa itulah aku ditemui seorang budak perempuan yang baik hati.Dia sangat kasihan kepada aku. Dia meminta izin ibunya untuk membawa aku pulang.

         Apabila sampai di rumahnya,dia membersihkan badan aku.Dia memanggil aku Si Comel. Beberapa hari kemudian, baharulah aku tahu budak perempuan itu bernama Siti. Siti menjaga aku dengan baik.Setiap hari , dia memberi aku minum susu dan makan ikan. Aku semakin sihat . Bulu aku juga semakin gebu dan cantik.

         Setiap hari,aku menunggu kepulangan Siti dari sekolah di muka pintu.Aku sering bermanja dengannya.Pada masa lapang, Siti akan bermain dengan aku. Kadangkala Siti membawa aku ke taman untuk bersiar-siar.Pada waktu malam, aku membantu tuan aku menangkap tikus.

        Aku gembira kerana mempunyai tuan yang baik. Aku berharap dapat berkhidmat kepada tuan aku sehingga akhir hayat.        
Picture